Thursday, December 9, 2010

Sempurnakan Agama Dengan Perkahwinan.

الحمد لله وحدة، والصلاة والسلام على من لا نبي بعده وعلى آله وأصحابه والتابعين ، ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.

Firman Allah SWT;

“Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah”. [Al-Nahl:72].

Sempurnakan Agama Dengan Perkahwinan.

Bait Muslim PMRAM dengan tema “Sempurnakan Agama Dengan Perkahwinan” bercita-cita untuk melihat golongan mahasiswa Mesir benar-benar merealisasikan sunnah yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.

Baginda bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tabrani;

“Barangsiapa yang dikurniakan oleh Allah seorang wanita solehah, sesungguhnya Allah telah menyempurnakan sebahagian imannya, maka bertaqwalah dengan sebahagian yang berbaki”.

Perkahwinan merupakan suatu jalan untuk memelihara diri daripada menjadi hamba yang melakukan maksiat kepada Allah SWT. “Al-Zawaj” yang disyariatkan oleh Allah SWT merupakan suatu nikmat yang perlu direbut kerana banyak perkara yang diharamkan oleh Allah SWT menjadi halal dengan perlaksanaan “al-zawaj” tersebut.

Sebagai contoh jenayah zina (persetubuhan haram yang dilakukan oleh lelaki dan perempuan yang belum berkahwin) yang diharamkan oleh Allah pada asalnya bertukar menjadi halal dengan dengan perlaksanaan “az-zawaj”. Setelah dinikahkan, kalimah zina tersebut akan bertukar menjadi “al-jima’” iaitu persetubuhan halal yang dilakukan oleh lelaki dan perempuan yang telah berkahwin.

Islam Agama Yang Meraikan Fitrah.

Firman Allah SWT;

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)”. [Ali-Imran: 14]

Kecenderungan lelaki untuk berkasih sayang dengan seorang perempuan merupakan suatu fitrah yang tidak dapat ditolak kerana ia merupakan suatu kesempurnaan yang diciptakan oleh Allah di dalam diri manusia. Namun, kecenderungan tersebut perlu selari dengan kehendak dan prisip yang telah ditetapkan oleh Islam.

Barat telah mencacatkan fitrah tersebut dengan membenarkan hubungan sejenis yang terang-terangan menyalahi norma kehidupan manusia normal. Hasilnya, bertebaran penyakit-penyakit pelik dan merbahaya dikalangan golongan ini sehingga membuahkan penyesalan yang tiada kesudahan.

Islam datang dengan suatu metod yang cukup indah di dalam meraikan fitrah tersebut. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Rum ayat ke-21;

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”.

Berdasarkan ayat tersebut Allah SWT mengurniakan tiga nikmat bagi manusia yang mengikuti ketetapan yang ditetapkan oleh Allah SWT iaitu;

1. Al-Sakinah (ketenangan hati).
2. Al-Mawaddah (kasih sayang).
3. Al-Rahmah (belas kasihan).

Satu Fikrah Satu Amal.

Konsep “Satu Fikrah Satu Amal” yang diperkenalkan oleh PMRAM juga cukup sesuai untuk diadaptasikan sebagai salah satu panduan untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Di dalam konteks bait muslim ianya selari dengan panduan yang diterangkan oleh Baginda SAW di dalam hadis yang masyhur;

“Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; kerana keturunannya, kerana hartanya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang beragama, beruntunglah kedua tanganmu”. [Muttafaqun Alaih]

Satu fikrah satu amal yang dimaksudkan daripada hadis ini adalah pemilihan calon suami atau isteri daripada sudut agama. Fikrah yang satu daripada setiap pasangan akan menatijahkan gerak kerja yang satu. Malah ianya juga turut memudahkan pasangan tersebut untuk membina sebuah rumahtangga yang membantu perjuangan Islam.

Bait Muslim Sebagai Penyelesai.

Akhirnya, Unit Bait Muslim yang ditubuhkan oleh PMRAM adalah sebagai penyelesai masalah sosial yang meruncing akhir-akhir ini. Gabungan kerjasama yang dilakukan bersama dengan Unit Hisbah PMRAM diharapkan mampu untuk mengurangkan masalah sosial yang mampu untuk mengganggu gugat kualiti seorang ulama dan pejuang Islam.

Muhamad Hakimi Bin Hussain
Pengarah Bait Muslim PMRAM 2010.

sumber : Bait Muslim PMRAM

Kuasa Mahasiswa Islam Yang Lahir Daripada Intipati Maal Hijrah

Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia nabi kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu segala nabi dan rasul.

Jika kita menyorot kembali sejarah penghijrahan di zaman Rasulullah SAW, pasti kita akan menemui cara dan uslub yang digunakan oleh pemimpin agung ini bagi memulakan kebangkitan umat Islam. Sejarah penghijrahan ini pasti tidak akan berlaku sekiranya perancangan dan strategi hanya sekadarnya sahaja.

Sebab itulah kebangkitan umat Islam sebenarnya memerlukan kepada sifat kesatuan. Dan kesatuan yang dimaksudkan di sini adalah kesatuan dari sudut akidah, pemikiran dan gerak kerja.

Allah SWT sengaja menyusun hari-hari kebesaran sebagai pedoman dan panduan bagi umat Islam untuk menyusun perancangan di masa hadapan. Setiap hari-hari yang disambut tersebut mempunyai intipati yang tersendiri bagi umat Islam menghayatinya.

Intipati bagi Hari Raya yang disambut pada 1 Syawal adalah sifat taqwa yang perlu ada dalam jiwa umat Islam. Setelah menempuh fasa tarbiyah sepanjang bulan Ramadhan, umat Islam kembali kepada fitrah asal kejadian dengan sifat taqwa yang wujud di dalam diri. Perkara tersebut disebut oleh Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan perkara tersebut terhadap umat-umat terdahulu, mudah-mudahan kamu semua menjadi orang-orang yang bertaqwa". (Surah Al-Baqarah : ayat 183)

Intipati bagi Hari Raya Aidiladha pula adalah sifat berkorban yang perlu diterapkan dalam jiwa umat Islam. Sejarah membuktikan bahawa Nabi Ibrahim As serta anaknya Nabi Ismail AS sanggup mengenepikan agenda peribadi apabila bertembung dengan suruhan daripada Allah SWT.

Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga menerapkan sifat berkorban ini selama 13 tahun sepanjang tempoh pembinaan umat Islam di Mekah. Manakan tidak, para sahabat Rasulullah SAW sanggup meninggalkan harta dan kekayaan yang mereka miliki di Mekah demi bersama-sama Rasulullah SAW berhijrah menuju ke Madinah.

Sehubungan itu, Nabi Muhammad SAW juga mengajar kaum Ansar agar membantu kaum Muhajirin ketika melaksanakan perintah Allah SWT. Bukti sifat berkorban yang subur di dalam jiwa kaum Ansar, mereka sanggup menawarkan kepada kaum Muhajirin untuk tinggal bersama-sama, menyumbangkan jiwa dan harta yang ada demi semata-mata ingin melihat kalimah 'Lailaha illallah' tertegak di bumi Madinah.

Maka intipati kepada sambutan Maal Hijrah adalah sifat kesatuan umat Islam. Inilah sifat yang merupakan senjata paling ampuh bagi kebangkitan sesebuah tamadun. Sesungguhnya perpecahan sesama bangsa dan akidah bakal melahirkan jiwa umat Islam yang hilang jatidiri dan integriti.


KUASA MAHASISWA ISLAM

Melihat kepada suasana dan keadaan mahasiswa Islam kini, PMRAM begitu serius melaksanakan program dan aktiviti bagi melahirkan mahasiswa Islam yang mempunyai prinsip dan pendirian.

Bersempena dengan sambutan Maal Hijrah ini, mahasiswa Islam perlu menjadikan intipati bagi hari kebesaran tersebut sebagai pegangan hidup. Sifat kesatuan perlu wujud dikalangan mahasiswa Islam bagi membentuk kuasa mahasiswa yang mampu membuat perubahan ke arah kebaikan.

Sejak kebelakangan ini, mahasiswa Islam seringkali dizalimi sehingga menyebabkan pengajian mereka di bumi Mesir ini terganggu. Isu ugutan penarikan zakat yang semakin digunapakai oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan suara mahasiswa semakin lantang menyatakan kebenaran.

Selain itu, isu hak kebajikan yang sepatutnya dirasai oleh mahasiswa Islam terus dipersoalkan. Duit peruntukan yang disalurkan oleh setiap kerajaan negeri atau yayasan Islam kepada Tabung Kecemasan terus menjadi tanda tanya mahasiswa Islam ekoran mereka tidak mendapat hak tersebut daripada pihak yang menguruskan.

Sekali pandang, tindakan beberapa pihak ini seolah-olah cuba mencabar kuasa mahasiswa Islam. Dan perkara inilah yang perlu dinyahkan daripada bumi Mesir dengan tindakan yang profesional daripada mahasiswa.

Oleh itu, jangan sesekali berpecah ketika menghadapi ancaman serta bertindak mengikut arahan daripada pimpinan. Keselarasan pemikiran dan kesepakatan bekerja inilah yang PMRAM istilahkan sebagai Satu Fikrah Satu Amal.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

sumber : PMRAM.org

Wednesday, December 8, 2010

Isu Zakat : Mahasiswa Terengganu Bantah Sikap Pegawai Tidak Profesional

Kaherah 29 Nov- Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir dengan rasa bertanggungjawab telah mengadakan Majlis Solat Hajat Perdana dan Penerangan Isu Zakat yang hangat diperkatakan oleh Mahasiswa Terengganu Mesir.

Majlis ini dianjurkan bertujuan untuk memohon kehadrat Allah s.w.t agar dipermudahkan segala urusan penerima-penerima zakat MAIDAM bagi sesi ini yang dinafikan hak dan menanam kesedaran dikalangan mahasiswa Terengganu Mesir terhadap semangat kerjasama dan keprihatinan.

Majlis yang dipengerusikan oleh Saudara Ahmad Ulwan bin Hassim selaku Naib Setiausaha KPT Mesir dimulakan dengan penerangan tentang isu-isu yang berlaku dan kronologi isu zakat yang telah didokumentasikan.

Majlis seterusnya membuka peluang kepada mana-mana ahli untuk berkongsi masalah yang dihadapi dan beberapa aduan berkaitan sikap tidak professional pegawai. Antara aduan yang diluahkan semasa majlis tersebut adalah seperti berikut :

1. Pengambilan zakat kali kedua bagi salah seorang mahasiswa dinafikan atas sebab keterlibatan beliau dalam Gerakan Tuntut Hak Asnaf Zakat (GERTHAK).

2. Bayaran zakat yang sepatutnya diterima penuh (RM 5,000) dikurangkan dengan alasan mahasiswa muadalah tersebut melebih dari 2 tahun.

3. Pegawai tidak membenarkan wakil bagi penerima zakat yang telah pulang ke Malaysia untuk mengambil wang zakat tersebut walaupun telah disertakan surat tawkil.

Beberapa cadangan turut dilontarkan yang membuktikan keprihatinan dan kesatuan ahli bagi membantu pihak KPT Mesir dalam menyelesaikan masalah yang berlaku. Antara cadangan yang dilontarkan oleh mahasiswa pada malam tersebut adalah seperti berikut:

1. Mendokumentasikan permasalahan-permasalahan ini dan menghantar memorandum terhadap salah laku pegawai kepada pihak berwajib antaranya SPRM, Menteri Besar Terengganu, MAIDAM, Yayasan Terengganu.

2. Meminta khidmat nasihat guaman dan mengambil tindakan undang-undang.

Dalam masalah ini, pihak KPT Mesir menyarankan agar mahasiswa-mahasiswa yang terlibat agar melaporkan perkara ini kepada pihak yang berwajib dan tidak lupa mengisi borang aduan yang telah disediakan.

Pihak KPT Mesir juga berharap agar seluruh mahasiswa bersedia untuk berganding bahu bersama pihak kepimpinan KPT Mesir bagi menjayakan cadangan-cadangan ini dan berharap semua ahli bersabar, terus berdoa serta bijak dalam melakukan apa-apa tindakan.

Pihak KPT Mesir mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh mahasiswa yang telah melontarkan cadangan dan menunjukkan kebersamaan dalam menangani isu ini. Pihak KPT Mesir akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan isu ini dengan pihak berwajib.

sumber : PMRAM.org

Tuesday, November 23, 2010

Merapi: Taksiran Kerugian Sedang Dicatat

21 Nov, Yogyakarta- Kerajaan Pemerintah hari ini telah menggariskan taksiran kerugian yang dialami akibat dari bencana Gunung Merapi pada 26 Oktober yang lalu. Beberapa daerah kejadian telah mengumumkan jumlah taksiran kerugian yang dicatat untuk dirancangdaerah Magelang pembangunan semula daerah-daerah terbabit.

Daerah Magelang

Kerugian yang tercatat bagi daerah Magelang sehingga kini mencecah Rp400 juta, menurut Pegawai Daerah Magelang, Singgih Sanyoto.

Dalam kejadian yang lalu, beratus hektar tanaman telah akibat dari pengaliran lahar, kematian haiwan-haiwan ternakan dan kemusnahan kediaman penduduk.

Berdasarkan perincian taksiran, sektor penternakan dan perikanan mengalami kerugian sekitar Rp150 juta dan sektor pertanian kerugian berjumlah Rp209 juta.

Daerah Boyolali

Pihak pemerintah mentaksirkan angka kerugian yang ditaksirkan bagi daerah Boyolali menjangkau Rp62,447 juta. Ini dijelaskan oleh Pegawai Daerah Boyolali, Sena Samodro semalam.

Perincian yang dibuat menunjukkan sektor pertanian mencatatkan kerugian sebanyak Rp61,8 juta, sektor perumahan Rp475,5 dan sektor penternakan sekitar Rp171,5 juta.

Bencana yang berlaku ini telah mengakibatkan kemusnahan hutan seluas 400 hektar.

Pembinaan Semula Penempatan

Sementara itu, sebanyak 705 penempatan sementara mula dibangunkan bermula hari Isnin ini (22 Nov) sehingga dua minggu akan datang.


3 daerah yang terlibat pada awal ini ialah Magelang, Boyolali dan Klaten.

Gabenor Jateng menjelaskan, pembinaan penempatan ini memakan masa hampir lama sehingga sebulan. Bagi daerah yang memerlukan unit rumah yang sedikit hanya akan mengambil masa seminggu untuk disiapkan. Rumah ini disediakan bagi mengganti semula penempatan yang musnah teruk ketika kejadian gunung merapi bulan lalu.

Setiap unit rumah berukuran 28 meter persegi, terdiri daripada dua bilik tidur, bilik air, dapur dan ruang tamu.

Pembiayaan projek pembangunan ini telah diperolehi daripada Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN) Indonesia.

sumber : di sini

"Belajar-belajar Juga, Kesihatan Mesti Dijaga"-HEWI PMRAM

KAHERAH, 22 Nov - HEWI PMRAM Pusat menyarankan kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi yang berada di Perlembahan Nil ini supaya menitikberatkan penjagaan kesihatan masing-masing.

Memandangkan ramai dikalangan ahli HEWI yang sakit terutamanya demam selesema dan batuk, lebih-lebih lagi sekarang ini musim peralihan cuaca daripada musim panas ke sejuk.

Menurut Saudari Nor Hasyimah binti Hassan selaku Ketua Unit Kebajikan dan Kemanusiaan HEWI PMRAM, waktu raya 'idul adha minggu lepas ramai ahli yang sakit, ketika HEWI pergi berhari raya ke mana-mana rumah akan dapati seorang dua ahli yang sakit.

"Belajar-belajar juga kesihatan mesti dijaga", ketika ini mahasiswa dan mahasiswi sibuk dengan pengajian di kuliah dan study group yang semakin rancak tetapi jangan sampai mengabaikan kesihatan diri, ujar beliau lagi.

Ekoran daripada itu, di Malaysia pula isu kesihatan yang terkini mengenai wabak demam denggi yang semakin serius selepas jumlah angka korban sehingga semalam terus meningkat mencecah 125 mangsa, peningkatan 60 peratus berbanding 77 kes kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Dua kematian terbaru dicatatkan semalam membabitkan mangsa dari Sandakan dan Tawau, Sabah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata jumlah kes denggi dilaporkan turut meningkat 18 peratus tahun ini kepada 42,659 kes sehingga 18 November lalu berbanding 36,135 kes dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

“Wabak denggi dalam negara kita semakin serius. Bilangan kematian begitu tinggi dan kita tak boleh lambat mengambil tindakan dengan kerjasama semua pihak. Doktor, pengamal perubatan swasta dan klinik kerajaan perlu mengenalpasti tanda-tanda denggi lebih awal dan memberi rawatan segera,” katanya di Berita Harian.

Walau dimana sahaja keberadaan rakyat Malaysia kesihatan dan keselamatan mesti dijaga. PMRAM sentiasa mengutamakan agenda kebajikan kepada ahli-ahlinya supaya kehidupan mereka di Mesir ini terjamin dan selamat.

sumber : HEWI PMRAM

Monday, November 22, 2010

London: Demonstrasi Menentang Perang Ke Atas Afghanistan

21 Nov, Debtor Diriye, London- Tengahari Sabtu semalam telah menyaksikan pelancaran satu demonstrasi di sebuah taman popular di London, Taman Hyde. Demonstrasi yang disertai hampir ribuan peserta anti-perang menuntut pengunduran pasukan tentera dari bumi Afghanistan.

Para peserta yang terdiri daripada kesatuan sekerja, aktivis keamanan dan komuniti umat Islam di dalam negara. Mereka berarak sambil mengalunkan gendang dan wisel yang diketuai oleh ahli british house of commons serta ahli politik. Kelihatan kain rentang dibawa oleh peserta demonstrasi menuntut pengunduran tentera dari negara Afghanistan.


Slogan-slogan `Hentikan Peperangan Bersekutu', Perlucutan Senjata Nuklear!' dan `Islam di Britain' dilaungkan oleh persatuan-persatuan dan badan-badan berkanun serta kesatuan wanita dan pelajar.


Turut serta dalam demonstrasi ini dikalangan pelajar sekolah dan universiti yang melahirkan kekesalan dengan peningkatan harga yuran pengajian dalam masa yang sama jumlah peruntukan untuk memerangi keganasan meningkat berjuta-juta. Peningkatan peruntukan ini tidak menyamai dengan tahap pendidikan dan kerihatinan kerajaan terhadap kehidupan masyarakat.
Berkata peserta demonstrasi dari kalangan parti pembangkang bahawa keterlibatan penghantaran pasukan tentera telah banyak mengorbankan nyawa. Sehingga kini bilangan kematian sudah tercatat sebanyak 340 orang tentera telah mterbunuh dalam masa yang sama bilangan penduduk awam juga terbabit dalam konflik ini. Tidak terkecuali tentera dari NATO juga mengalami nasib yang sama.



Isyarat Jelas dari Rakyat

Pihak pemerintah hari ini telah gagal untuk menyakinkan rakyat bahawa mereka mampu untuk memberi sokongan kepada tentera Britain di Afghanistan. Mereka juga telah gagal untuk memenangi hati rakyat dan kekalahan mereka mengatasi perang di Afghanistan sudah ternyata.

Kajian yang dibuat, statistik menunjukkan dari koresponden yang diterima mendapati 75% dikalangan rakyat Britain mendesak untuk dilakukan pengunduran pasukan tentera dari Afghanistan. 81% pula tidak yakin bahawa pasukan tentera mampu bertahan disana dengan baki bekalan logistik yang sedia ada sekarang.

Laungan Keamanan Bergema di Bandar London Sekretariat `Hentikan Peperangan` menyatakan bahawa laungan rakyat pada perarakan di tengah bandar London ini merupakan satu pesanan penting buat Presiden Amerika Barack Obama dan Perdana Menteri Britain David Cameron serta pemimpin-pemimpin yang bersekutu dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara di Lisbon.

Setiausah Agung Sekretariat Hentikan Peperangan dalam kenyataannya berkata, perang di Afghanistan akan berlaku lebih lama dari Perang Dunia Pertama dan Kedua jika para pemimpin NATO terlibat dalam konflik ini.

Beliau menegaskan bahawa peperangan ini tidak ada alasan. Ianya tidak akan mendatangkan keamanan kepada Britain sepertimana tidak menghasilkan demokrasi di Afghanistan. Apa yang menjadi sebab utama dalam peperangan ini semata-mata menjaga air muka pihak Amerika, NATO dan Kerajaan Britain setelah insiden pencerobohan mereka di Iraq.

Jumaat lalu, ahli keluarga tentera Afghanistan menjalankan tunjuk perasaan menuntut penguduran pasukan tentera asing dari negara mereka.
Mereka juga menuntut untuk dibebaskan seorang pegawai
tentera yang berpangkat Lans Koperal, Joe Glenton yang ditahan selepas enggan mengikuti misi ke Afghanistan semula. Sepucuk surat telah dihantar ke Perdana Menteri untuk mendesak dihantar semula anaknya ke negara mereka.

Sumber : we care islam

Satu Dalam Seribu : PMRAM Dan Tribulasi

Dunia berorganisasi pada hari ini sentiasa wujud dan berada dimana-mana. Adalah menjadi keperluan bagi mahasiswa dalam berorganisasi apabila di sesuatu tempat itu terdapat perkumpulan manusia yang memerlukan satu pengurusan stategik bagi membantu perjalanan hidup mereka terurus dan tersusun.

Penubuhan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai persatuan mahasiswa di Ardul Kinanah ini boleh dijadikan satu contoh organisasi yang terbaik.

Misi dan visi PMRAM tidak lain tidak bukan terutamanya adalah untuk meyatukan suara anak-anak Melayu yang tinggal di Republik Arab Mesir. PMRAM bukanlah satu organisasi yang bersikap memilih tetapi menerima siapa sahaja yang ingin berada dibawah naungannya.

PMRAM adalah persatuan induk yang cukup terkenal sama ada di Mesir ataupun di Malaysia amnya. Hak keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan Mesir ke atas PMRAM tidak boleh disangkal dan dinafikan.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora. Menjadi asam garam dalam perjuangan PMRAM dengan mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran. Di sepanjang kehidupan PMRAM telah menjadi kelaziman menghadapi segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan. Beberapa isu yang berlaku baru-baru ini dan tahun lepas masih lagi terasa bahang kepanasannya dan berlegar-legar di kotak pemikiran ahli - ahli PMRAM. Antaranya :

1) Isu Qiraat - berlaku sekitar bulan April tahun ini, berkenaan nama-nama pelajar yang tidak naik menyebabkan ramai tidak dapat menjalani peperiksaan seperti yang dijadualkan.

2) Fitnah Pegawai JPMK terhadap Pengerusi DPMT yang kononnya mendakwa sebagai wakil kedutaan kepada pihak Keselamatan Mesir.

3) Isu Kutub Sittah - menghalang program dengan memfitnah PMRAM sebagai pembangkang

4) Isu pemusatan mahasiswa - tiada pentauzikan pelajar baru ke muhafazah menyebabkan permasalahan sara hidup, penempatan dan sebagainya.

5) Masalah integriti dan salah laku beberapa orang pegawai negeri – ugut zakat dan menghalau dari asrama pelajar.

6) Tindakan Pengarah JPMK yang menandatangai surat sokongan bagi penubuhan 'Academy Center' di Tanta merupakan tindakan yang tidak profesional.

7) Tindakan Pegawai Atase Pendidikan JPMK mengedar borang Kelab UMNO ketika taklimat biasiswa.

8) Isu hak mahasiswa yang dinafikan - penggunaan ARMA dengan keberadaan pelajar menetap di sana.

9) Sikap pegawai JPMK yang tidak profesional lebih-lebih lagi terhadap mahasiswa yang melibatkan diri dengan PMRAM

10) Isu Imtihan Qabul - Bermula tahun 2009 yang menjadi kejutan bagi pelajar STAM dan tahun ini ramai tidak lulus secara mendadak.

11) Isu kebajikan mahasiswa diabaikan oleh beberapa pihak.


Walaubagaimanapun perkara ini tidak sekali-kali melemahkan hati dan meruntuhkan jiwa pendukung-pendukung PMRAM, malah PMRAM terus bangkit kehadapan dan menjadi semakin matang dalam menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku.

Sebagai sebuah gerakan mahasiswa PMRAM telah menyediakan pelbagai agenda untuk ahli - ahlinya iaitu yang berbentuk tarbiah dan dakwah, pengajian dan tafaqquh, program bermasyarakat, rehlah dan ziarah, mengajak ahli mendepani isu semasa dan berkebajikan.

Kebanyakan mahasiswa yang menggabungkan diri dengan PMRAM tidak akan jemu dan menyesal kerana dasar Islam yang dibawakan oleh PMRAM. Bahkan dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah mengukuhkan lagi kepercayaan mereka ini untuk terus bersama PMRAM.

Apatah lagi aktivis-aktivis yang lahir daripada didikan PMRAM telah banyak bergiat dan memberikan sumbangan kepada agama. Mereka ini sepatutnya mesti dicontohi oleh generasi mahasiswa sebagai pelapis yang mana Ulama’ itulah pewaris kepada Nabi-Nabi.

Selagimana Islam yang dijulangkan oleh PMRAM dalam setiap agendanya, selagi itulah Allah akan menjaga dan memelihara PMRAM . Oleh kerana keyakinan pengerak-pengerak PMRAM itulah yang menyebabkan PMRAM sehingga ke hari ini masih bertahan dengan usia yang mencecah 80 tahun.

Berderau hati mereka apabila mendengar laungan ini, “Hidup-hidup..hidup Islam, bangkit-bangkit.. bangkit mahasiswa”, slogan yang dilaungkan oleh ahli PMRAM pada malam penerangan isu-isu semasa baru-baru ini jelas membuktikan kekuatan PMRAM masih kukuh dengan sokongan yang diberikan oleh ahli. Tiada siapa akan menduga ahli - ahli PMRAM sehingga kini masih lagi setia bersama PMRAM, kerana disebabkan kefahaman dan kesedaran mereka akan perjuangan yang dijulangkan oleh PMRAM.

Keberhasilan tema yang digarapkan pada tahun ini “Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah” jelas berjaya disemaikan ke dalam hati ahli - ahli yang menyintai PMRAM. Tema yang diterapkan ini adalah kesinambungan daripada tahun - tahun sebelum ini dan natijahnya terserlah kini. PMRAM satu dalam seribu, tidak terdapat di tempat - tempat yang lain.

PMRAM akan terus bertahan dan mengorak langkah demi mengukuhkan kedudukannya di mata masyarakat rakyat Malaysia di sini. PMRAM diteguh, ISLAM tertegak.

Disediakan Oleh :

Urus Setia Penerangan Umum (UPU),
Badan Penerangan & Penerbitan PMRAM 2010 dan
Unit Penerangan & Penerbitan HEWI PMRAM 2010

Sumber : PMRAM.org

 

ILMIAH. Copyright 2008 DEWAN PERWAKILAN MAHASISWA DAMIETTA by Template by http://dumyat.blogspot.com/